Sebahagian pesakit Covid-19 yang dirawat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di dalam negara ini terus bertambah berbanding semalam 15,573 kepada 15,902 setakat 12 tengah hari ini.

Dengan pertambahan ini, Malaysia semakin menghampiri untuk merekodkan sejuta kes jangkitan Covid-19 apabila merekodkan 996, 393 kes keseluruhan sejak penularan wabak Covid-19 ini dikesan pada awal tahun lalu.

Malah hari ini, tiada negeri dalam negara yang terkecuali daripada pandemik ini.

Perlis yang selama ini merekodkan kes paling rendah atau sifar melonjak kepada tujuh kes hari ini berbanding tiga kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham berkata, selain Selangor yang masih kekal sebagai penyumbang kes harian tertinggi dengan 7,351 kes, Kuala Lumpur juga menunjukkan pertambahan kes kepada 2,406 hari ini berbanding 2,063 semalam.

Kedah pula merosot sedikit berbanding semalam kepada 867.

Johor, Sabah dan Melaka juga masing-masing merekodkan kenaikan kes kepada 804 dan 712 dan 631.

Kelantan yang mencatatkan 372 kes semalam, meningkat kepada 502 hari ini.

Kes turut meningkat di Perak (469), Terengganu (267), Putrajaya (59) dan Labuan (30).

Bagaimanapun, kes jangkitan di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, dan Pahang masing-masing susut kepada 625, 505 dan 406 berbanding semalam.– MalaysiaGazette