Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hospital Selayang yang dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya bagi kawasan Lembah Klang akan meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit yang berada dalam kategori 3, 4 dan 5.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata,  ‘Operasi Selayang’ telah dimulakan dan akan selesai dalam 48 jam untuk menyediakan 450 katil bagi pesakit Covid-19.

Tindakan itu langkah itu merupakan strategi yang dikenal pasti sebagai tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera.

Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) telah ditubuhkan untuk menangani isu peningkatan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan.

GKVSTF akan memberi tumpuan kepada tujuh perkara iaitu penjagaan klinikal, Pusat Penilaian Covid-19 dan pemantauan kendiri di rumah, epidemiologi, logistik perubatan dan umum, sistem sokongan sosial bagi petugas hadapan, sumber manusia dan kewangan serta komunikasi strategik.

Chee Kheong berkata, perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.

Tambahnya, ujian Covid-19 akan lebih mengutamakan individu yang bergejala namun semua kes simptomatik Covid-19 masih perlu dinilai sama ada secara atas talian atau fizikal di CAC atau di Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

Bagi kes positif yang tidak bergejala, akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara atas talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera,e-Covid atau SELangkah.

Kontrak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala digalakkan untuk melakukan ujian pantas sama ada di klinik atau menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

Langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dikurangkan di Lembah Klang dan mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.

Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapakan kes-kes yang memerlukan rawatan akan diberi dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri.

Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas.

Chee Kheong menambah, bagi golongan dewasa yang layak adalah digalakkan mendaftarkan diri mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard. – MalaysiaGazette