Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto AFIQ HAMBALI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra disaran agar menggunakan hubungan diplomatik yang baik untuk mendapatkam kerjasama dengan Mesir bagi membantu badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha beberapa NGO Malaysia untuk masuk ke Gaza tidak mendapat kelulusan, menandakan suatu koordinasi rasmi antara dua kerajaan perlu diadakan.

Katanya, pihak berkuasa Mesir mempunyai banyak pertimbangan untuk membenarkan mana-mana NGO atau individu dari luar Mesir memasuki Gaza.

“Suatu SOP jelas antara dua negara Malaysia dan Mesir perlu digariskan sebagai panduan bagaimana NGO Malaysia boleh merencana bantuan kemanusiaan untuk masuk ke Gaza.

“Faktor keselamatan adalah yang paling utama. Oleh itu jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan dengan telus dan lancar harus dibincangkan antara kedua dua negara Malaysia dan Mesir,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menyeru agar Malaysia mengguna saluran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membantu semua NGO dari negara-negara Islam mendapat akses ke memasuki Gaza.

Ujarnya, pengalaman banyak NGO Malaysia yang dapat masuk ke Gaza sejak 2009 dan melaksanakan pelbagai projek kemanusiaan sangat bergantung kepada pihak berkuasa Mesir.

“Demikian juga NGO kemanusiaan dari banyak negara lain, memasukki Gaza setelah dibenar oleh Mesir.

“Namun, proses mendapat kelulusan untuk masuk ke Gaza ada kalanya tidak melalui prosedur yang lazim. Mengguna hubungan baik termasuk hubungan diplomatik antara negara dengan Mesir sangat penting. Itupun sangat bergantung kepada tapisan oleh pihak Mesir.

“Pokoknya kebijaksanaan untuk memperoleh kepercayaan dari pihak Mesir perlu diguna untuk mendapat kelulusan masuk,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berpendapat adalah sangat penting mengguna hubungan diplomatik untuk memasuki Gaza disamping bekerjasama dengan NGO Mesir seperti Bulan Sabit Merah.

Oleh itu katanya, hubungan NGO Malaysia dengan pihak berkuasa Palestin di Gaza serta Mesir perlu dijalinkan agar koordinasi bagi memasuki negara dalam melaksana bantuan dapat berjalan dengan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.