Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengumumkan mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) 5.0 sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama berikutan sidang media yang diadakan oleh beliau semalam.

Dalam sidang media itu, perdana menteri hanya menyebut mengenai jumlah keseluruhan kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM6.1 bilion menerusi GKP 1.0, 2.0, 3.0, 4.0 dan GKP Tambahan bagi meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro termasuk penjaja, peniaga pasar malam dan lain-lain lagi.

PKS membentuk 98 peratus daripada entiti perniagaan di Malaysia dan menyumbangkan hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sejak Mac 2020, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion melibatkan 330,000 majikan dan telah membantu mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan setakat ini.

Untuk peniaga PKS, lebih RM20 bilion dalam bentuk pinjaman mudah telah diperuntukkan melalui skim pinjaman Bank Negara Malaysia PKS dan Skim Pembiayaan Mikrokredit kerajaan.

GKP merupakan satu daripada pelbagai inisiatif kerajaan dalam memastikan kelangsungan perniagaan, terutamanya PKS yang terjejas akibat Kawalan Pergerakan.

Bernama meminta maaf dan menyesali atas kesilapan laporan itu.

— BERNAMA