KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan sekumpulan individu yang dipercayai menghadiri kursus pemantapan pimpinan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat pada hari ini, kursus tersebut didakwa diadakan di sebuah hotel di Shah Alam.

“Dalam laporan polis yang dibuat, pengadu mendakwa kumpulan tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup dan tiada penjarakan sosial diantara satu sama lain. Hal ini merupakan satu pelanggaran SOP sebagaimana yang telah ditetapkan.

“Video mengenai isu pelanggaran SOP oleh kumpulan tersebut disaksikan oleh pengadu menerusi 2 akaun Facebook Tentera troll kebangsaan Malaysia dan PPVM Bahagian MARAN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar SOP PKP.

Jelas Baharudin, jika sabit kesalahan semua individu yang melanggar SOP akan dikenakan kompoun sebanyak RM2,000, manakala kompaun RM10,000 pula akan dikenakan ke atas penganjur.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya. – MalaysiaGazette