Jadon Sancho (kanan) kini menjadi pemain Inggeris kedua termahal dalam sejarah dan juga menjadi penerima gaji kedua tertinggi di United

LONDON – Manchester United secara rasminya mengumumkan Jadon Sancho sebagai pemain baharu kelab itu semalam.

Sebelum ini proses perpindahan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya kerana pemain itu berada di kem Euro 2020 bersama dengan skuad kebangsaan England.

United membeli Sancho dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan £72 juta selepas satu perpindahan yang panjang sejak musim lalu.

Sancho merupakan bekas graduan akademi Man City dan dia memilih untuk menyertai musuh yang satu bandar dengan pasukan tersebut.

Penyerang sayap berusia 21 tahun itu bersetuju dengan kontrak lima tahun sehingga 2026 dengan pilihan lanjutan setahun selepas kontrak itu berakhir.

Dalam video pengenalannya, Sancho berkata, United adalah kelabnya dan ia adalah tempat yanglayak dia berada.

Sancho menjaringkan 50 gol dan 64 bantuan sepanjang empat musim bersama dengan Borussia Dortmund.

“Saya sentiasa berterima kasih kepada Dortmund kerana memberikan saya peluang untuk bermain dalam pasukan utama, walaupun saya tahu suatu hari nanti, saya akan kembali semula ke England.”

“Peluang menyertai Man United adalah impian menjadi kenyataan. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dalam EPL bersama dengan skuad muda.

“Saya juga teruja untuk bekerjasama dengan pengurus dan jabatan kejurulatihannya untuk membangunkan lagi tahap permainan saya,” katanya.

Sancho kini menjadi pemain Inggeris kedua termahal dalam sejarah dan juga menjadi penerima gaji kedua tertinggi di United. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast