Datuk Seri Amiruddin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana individu terutama pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan kesalahan rasuah atau penyelewengan kuasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu telah dinyatakan ketika beliau mengadakan sesi libat urus bersama penjawat awam menerusi Majlis Mahabbah Ramadhan pada 23 April lalu.

“Saya sedia maklum berita penahanan reman beberapa pegawai perkhidmatan awam Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terkait isu rasuah.

“Kerajaan Negeri juga mengikuti dengan dekat beberapa jabatan berkenaan serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun Amirudin turut mengingatkan masyarakat tidak menghukum terlebih dahulu individu terbabit selagi ia tidak terbukti bersalah oleh agensi yang menjalankan siasatan.

“Sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM atau pihak berkuasa, perlu ditegaskan sejajar dengan prinsip ‘rule of law’ bahawa tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Justeru, Kerajaan Negeri menghormati proses yang sedang berjalan dan kekal menjunjung prinsip ketelusan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, SPRM menahan dua individu yang juga bekas Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette