KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membatalkan Ordinan Darurat di bawah Proklamasi Darurat dipertikai oleh Ketua Pembangkang.
Ahli Parlimen Port Dickson (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu tidak mengikut prosedur dalam pembatalan semua peraturan ordinan berkenaan.
Katanya, peraturan ordinan tersebut perlu diisytiharkan melalui Yang di-Pertuan Agong malah pembatalan itu juga perlu dibuat melalui cara yang sama atau melalui Parlimen.
“Saya tidak pasti hal yang diumumkan menteri (Datuk Takiyuddin Hassan) telah dipersembahkan atau diperkenankan. Tak disebut.
“Kalau ini belum berlaku, pengumuman (pembatalan) ini tidak boleh dibuat dengan satu bentuk penghinaan kepada institusi Raja-Raja Melayu khususnya Agong,” katanya pada sidang khas Parlimen yang bermula hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang secara tiba-tiba mengumumkan semua ordinan darurat yang diisytiharkan pada tahun ini dibatalkan pada 21 Julai lalu.
Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada Ahli Parlimen kerana tidak dimaklumkan kepada Dewan Rakyat.
Anwar berkata, pembatalan itu adalah satu tindakan tidak wajar malah ia tidak memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Tak boleh kata umpamanya ‘hari ini kita isytiharkan darurat’. Pada sesi (kemudian) kata ‘kita sudah batalkan minggu lalu’. Ini pasar malamkah?” soalnya.
Takiyuddin hari ini mengesahkan kerajaan tidak akan menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos.
Beliau turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan membatalkan semua Ordinan Darurat yang dibuat semasa ia diisytiharkan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: