APMM Pulau Pinang rampas 67 bubu naga di lima lokasi berasingan sekitar 1.0 batu nautika Timur Laut Pulau Gedung semalam.

GEORGE TOWN –  Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas sebanyak 67 bubu naga di lima lokasi berasingan sekitar 1.0 batu nautika Timur Laut Pulau Gedung di sini semalam.

Rampasan itu dibuat menerusi Op Benteng Laut dan Op Pertiwi antara jam 5.10 hingga 6.30 petang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki bubu naga ketika menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

Katanya, kesemua set bubu naga yang dianggar bernilai RM8,000 itu dirampas sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut.

Pegawai APMM menunjukkan bubu naga yang dirampas pihaknya.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abd Razak mengingatkan golongan nelayan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan.

“Kita akan terus melakukan pemantauan aktiviti haram sebegini dari semasa ke semasa dan kita juga minta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes yang berlaku di perairan negeri ini,” ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette