Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengumuman Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu amat mengejutkan kerana dibuat dengan sembunyi dan tidak digazetkan dalam Warta Kerajaan.

Ahli Parlimen Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, sedangkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan undang-undang darurat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

Bagaimanapun, kata beliau yang juga seorang peguam, pengumuman bahawa semua enam Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Rabu lalu adalah mengejutkan.

“Ini menunjukkan kerajaan takut untuk membentangkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan undang-undang lain yang dipinda atau diluluskan ketika darurat sebelum ini dilaksanakan.

“Tindakan kerajaan ini kerana mereka bimbang Ordinan Darurat ini akan ditolak dan ini secara tidak langsung menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sokongan atau keyakinan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jelas lagi tersuluh legitimasi dan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini telah luntur dan beliau seharusnya menjadi anak jantan untuk meletak jawatan.

Katanya, jangan jadikan alasan tiada calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk mengelak meletak jawatan kerana ia perkara kedua.

“Sedangkan, perkara pokok atau fundamental di dalam Perlembagaan adalah Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan apabila hilang keyakinan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

“Jangan dicabar seseorang itu mandul selagi belum berkahwin. Kesan kritikal daripada pembatalan ini adalah segala tindakan yang dilakukan kerajaan PN ketika darurat kini menjadi batal dan tiada kesan.

“Ini termasuklah sesiapa yang dikompuan melanggar SOP melebihi amaun RM1,000 juga terbatal,” katanya.

Kata Faiz, kompaun melebihi jumlah RM1,000 sehingga RM10,000 dibuat berdasarkan pindaan Akta 342 ketika darurat dan dengan pembatalan itu, kompaun seumpama itu adalah terbatal.

Selain itu, kata beliau, mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan berita tidak benar juga terbatal dan seharusnya pertuduhan ditarik balik serta satu perintah DNAA diberikan dan mereka dilepaskan oleh mahkamah.

Menurutnya, implikasi pembatalan senyap itu cukup besar dan hendaklah menunjukkan bukti keputusan kerajaan PN membatalkan enam Ordinan Darurat tersebut.

“Rakyat perlu tahu hak mereka sebagai warganegara yang dilindungi di bawah Perkara 5 (1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast