Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpeluk tubuh dalam menangani penularan Covid-19.

Ketika sesi ucapan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam mesyuarat khas Parlimen hari ini, beliau berkata, kerajaan faham akan keadaan terkini rakyat mengenai kerana penularan pandemik dan cuba sehabis baik untuk mereka.

“Kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” jelas Muhyiddin.

Menurut Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh (Bersatu), kerajaan sedang berusaha untuk mengatasi kemelut yang dihadapi rakyat mahu pun negara.

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi.

“Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan melebihi sejuta kes positif Covid-19 sejak 2019 lalu.

Sejumlah 17,045 kes positif direkodkan semalam menjadikan jumlah itu tertinggi setakat ini.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara kini ialah 1,013,438 kes.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan mahu pun rakyat negara ini harus bersolidariti dalam menghadapi pandemik ini.

“Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari. Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast