Nafuzi Zain.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC semakin menghampiri takhta liga untuk mencabar kedudukan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC, pada Sabtu lalu.

Berakhir perlawanan ke-14 Liga Super, skuad kendalian Nafuzi Zain hanya dibezakan tiga mata dengan JDT untuk berada di tangga kedua liga.

Menurut Nafuzi, beliau enggan terlalu fokus kepada perebutan di tangga teratas liga sebaliknya mahu barisan pemain terus konsisten dengan aksi cemerlang kerana sedikit kesilapan boleh menghukum pasukan untuk lawan merampas kedudukan mereka ketika ini.

Bercakap mengenai prestasi anak buah ketika menentang Perak, Nafuzi menyifatkan ia satu permulaan yang cukup baik selepas berehat lama terutamanya aksi pemain import baharu, Habib Haroon yang cukup membantu pasukan mengawal keseluruhan permainan.

“Saya bersyukur dengan tiga mata yang cukup berharga untuk pasukan di mana semua pemain memberi yang terbaik di atas padang mengikut apa yang telah dirancang.

“Saya tidak mahu fikir sangat mengenai lawan lain dan berbaki lapan perlawanan ini, kita kena cuba buru mata sebanyak mungkin kerana kalau kita konsisten, semestinya tempat kita akan di atas.

“Bercakap pasal import baharu, Habib pula, untuk aksi pertamanya memang dia memberi sumbangan besar terutamanya di bahagian tengah dan dia beri keseimbangan kepada pasukan untuk bertahan dan menyerang.

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dia telah sumbangkan dan bagaimana dia memberi bantuan kepada pemain lain di atas padang”, jelasnya.

Bagi pasukan JDT pula, kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC juga cukup berharga meskipun mereka ketinggalan lebih awal apabila lawan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit 43.

Namun, kebangkitan yang ditampilkan oleh barisan pemain untuk meledak tiga jaringan nyata membanggakan pengendalinya, Benjamin Mora untuk terus kekal sebagai pendahulu liga.

“Pada awal perlawanan, malangnya perkara yang saya tidak mahu berlaku di mana lawan berjaya menjaringkan gol pertama.

“Saya boleh katakan UiTM FC melakukan tugas yang cukup baik, mereka benar-benar berjuang untuk mencari peluang menambah jaringan.

“Tetapi, apa yang penting adalah bagaimana pemain saya melakukan kebangkitan dan mereka menunjukkan bahawa mereka tahu apa tugas yang perlu dilakukan untuk kembali berada di depan dan menang perlawanan ini”, katanya.

Bagi perlawanan antara Sri Pahang FC dan Melaka United FC pula, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berjaya keluar daripada zon penyingkiran apabila seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, semalam.

Zainal menyifatkan keputusan seri itu sekurang-kurangnya menyelamatkan mereka untuk tidak terus berada di kedudukan dua tercorot apatah lagi perlawanan yang akan datang menentang Terengganu FC pastinya akan lebih sukar.

“Alhamdulillah kami bangkit hingga ke wisel penamat walaupun kecuaian pemain pada awal permainan telah mendera kita untuk bekerja lebih keras sehingga tamat perlawanan.

“Satu mata yang berharga dan kita perlu teruskan rentak yang lebih baik sedikit demi sedikit kerana kita akan menentang Terengganu selepas ini.

“Apa yang saya boleh katakan, memang tekanan tinggi ketika lawan Pahang kerana dua dua nak elak zon penyingkiran dan masing-masing baik Melaka, Pahang dan Perak, perbezaan mata tidak terlalu jauh”, katanya.

Dalam aksi lain, PJ City FC menumpaskan Sabah FC 1-0 manakala Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC masing-masing meraih satu mata selepas seri 1-1.

Perlawanan di antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC pula terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu selepas dua pemain Kedah didapati positif Covid-19. – MalaysiaGazette