Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan yang mengumumkan pembatalan ordinan-ordinan yang dibuat menurut Proklamasi Darurat selepas lima hari dibatalkan bukanlah menjadi teladan yang baik.

Ini kerana ia melibatkan banyak hak rakyat yang disekat di dalam ordinan tersebut dan rakyat tidak tahu pun ia telah dibatalkan.

Seorang peguam, Zainul Rijal Abu Bakar akui bukan Parlimen sahaja yang boleh membatalkan ordinan-ordinan tersebut kecuali jika ordinan-ordinan berkenaan tidak dibatalkan terdahulu sahaja, maka barulah Parlimen mempunyai kuasa membatalkannya melalui undian.

Namun, menurut beliau, kerajaan mestilah telus khususnya di dalam isu-isu yang melibatkan perundangan.

Lantaran itu, dalam hantaran di Facebook beliau, Zainul mempersoalkan apakah motif kerajaan membatalkan ordinan yang berkuatkuasa 21 Julai 2021 tetapi hanya mengumumkannya di Parlimen pada 26 Julai 2021.

Beliau turut mempersoalkan jika ordinan-ordinan tersebut dibatalkan berkuatkuasa 21 Julai lalu sedangkan darurat hanya tamat pada 1 Ogos 2021, adakah negara tidak mempunyai eksekutif dalam tempoh antara 21 Julai 2021 hingga 1 Ogos 202.

Pada pandangan beliau, negara tidak boleh ditinggalkan dalam vakum tanpa ada badan eksekutif yang mentadbir.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan perlu ditafsir secara harmoni dan objektif bagi mengelakkan negara menjadi huru-hara.

Tatkala ordinan-ordinan tersebut dibatalkan, Perlembagaan Persekutuan mengambil tempat semula walaupun dalam tempoh darurat kerana tiada ordinan yang menggantung peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Oleh yang demikian Jemaah Menteri menjadi badan eksekutif yang menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

”Persoalan sama ada perdana menteri mempunyai majoriti di Dewan Rakyat atau tidak, adalah perkara lain yang perlu diulas dalam konteks lain. Begitu juga mengenai kenapa tiada undian dibuat di dalam sidang khas Parlimen kali ini.

”Ia lebih kepada persoalan politik antara kedua belah pihak. Dewan Rakyat merupakan lambang demokrasi negara, pastinya demokrasi memerlukan kehendak ramai untuk suatu keputusan dibuat dan kehendak ramai tersebut perlulah diketahui melalui undian.

”Jika kerajaan kalah dalam undian, adakah kerajaan sekarang terbubar dengan kehilangan kepercayaan atau majoriti? soalnya.

Zainul berkata, Dewan Rakyat pernah tidak meluluskan usul kerajaan untuk meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dua tahun lepas.

Usul pihak kerajaan dikalahkan tetapi kerajaan tersebut masih terus memerintah tanpa dibubarkan.

”Mungkin ada yang mengatakan usul tersebut memerlukan majoriti dua pertiga kerana meminda perlembagaan, bukan majoriti mudah seperti meluluskan Rang Undang-Undang biasa, tapi isunya ialah kerajaan kalah dalam usulnya sendiri.

”Disebabkan itulah kerajaan sebelum itu, tidak mengusulkan pindaan Perlembagaan termasuklah pindaan kawasan pilihan raya kerana mereka tidak memiliki majoriti dua pertiga,” katanya. – MalaysiaGazette