Syaqiera Mashayikh.

KUALA LUMPUR – Impian pemanah negara, Syaqiera Mashayikh untuk meneruskan cabaran dalam acara recurve individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 musnah selepas tewas kepada Elena Osipova dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC).

Pujian harus diberikan kepada Syaqiera kerana memberikan tentangan sengit kepada Osipova yang merupakan pemenang pingat perak Piala Dunia Memanah Paris 2021 itu.

Syaqiera pada satu ketikanya dilihat hampir-hampir untuk memenangi perlawanan sebelum akhirnya terpaksa akur tewas 4-6 dengan keputusan 26-25, 26-28, 26-26, 25-25 dan 23-29 kepada Osipova di Yumenoshima Park sebentar tadi.

Seorang lagi wakil daripada skuad memanah negara, Khairul Anuar Mohamad akan turun berentap dengan pemanah Finland, Antti Vikstrom di pusingan ke-64.

Kemenangan akan membolehkan Khairul Anuar mara ke pusingan 32 dan menanti lawan sama ada Wang Dapeng dari China atau pemanah Kazakhstan, Sanzhar Mussayev. – MalaysiaGazette