SPRM Azam Baki
Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru orang ramai termasuk rakyat Negeri Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berhubung kegiatan rasuah dalam kalangan pegawai negeri itu.

Ia bagi memastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang, sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki.

Menerusi kenyataan di sini, beliau berkata, SPRM menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menzahirkan penghargaan baginda kepada suruhanjaya ini yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Negeri Selangor ini dapat dibanteras.

Menurut beliau, titah Sultan Selangor itu melambangkan keprihatinan dan ketegasan baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah, sekali gus boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Negeri Selangor.

”Saya juga sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini.  – MalaysiaGazette