Gambar hiasan.
Gambar hiasan

SAYA tertarik dengan pandangan penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja boleh membatalkan Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat pada bila-bila masa jika Seri Paduka berpendapat keadaan negara sudah berada dalam keadaan baik.

Tambah beliau, selepas Agong memberi persetujuan, pembatalan tersebut tidak perlu dimaklumkan di Dewan Rakyat. Pun begitu, Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat masih berkuatkuasa sehingga titah perkenan rasmi dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. https://malaysiagazette.com/2021/07/27/agong-boleh-batal-darurat-bila-bila-masa-tak-perlu-maklum-parlimen-penganalisis/

Hakikatnya, pengesahan perkenan rasmi Seri Paduka itulah yang diminta oleh ahli-ahli Parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Hakikatnya juga, Proklamasi Darurat akan luput pada 1 Ogos. Tetapi Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berkuatkuasa selama enam bulan selepas tamat tempoh Proklamasi [Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan] “jika tidak terlebih dahulu dibatalkan” di bawah Perkara 150(3).

Barangkali kita boleh bersetuju bahawa perkenan rasmi Seri Paduka kepada pembatalan tersebut tidak perlu dimaklumkan di Dewan Rakyat. Tetapi perkenan rasmi Seri Paduka perlu mengikut formaliti undang-undang.

Ini disebabkan sesuatu Ordinan Darurat dianggap sebagai suatu Akta Parlimen seperti dinyatakan dengan jelas oleh Perkara 150(2C). Yang demikian, pembatalan Ordinan Darurat harus disamakan dengan pembatalan Akta Parlimen. Sekiranya sesuatu Akta Parlimen dibatalkan dengan suatu Akta Parlimen yang lain – yang dipanggil Akta Pembatalan (repealing Act) – begitulah juga Ordinan Darurat. Ia perlu dibatalkan oleh Ordinan Pembatalan (repealing Ordinance) atas nama Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan dalam Warta Kerajaan.

Kuasa membatalkan sesuatu Proklamasi dan Ordinan Darurat, seperti kuasa membuat kedua-duanya, adalah kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Inilah yang diputuskan oleh Lord Diplock dalam Majlis Privy (Privy Council) dalam kes Teh Cheng Poh v Pendakwa Raya (1979) yang merupakan keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum rayuan kepada Majlis tersebut dimansuhkan.

Hakikatnya, pengumuman Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat Isnin lalu tidak ada kesan undang-undang. Setakat penulisan ini dibuat, masih tidak ada pewartaan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat. Maknanya, frasa di dalam Perkara 150(3) “jika tidak terlebih dahulu dibatalkan” masih belum berlaku.

Tetapi kenyataan Menteri bahawa Ordinan-Ordinan Darurat telah batal sejak 21 Julai memang mengelirukan. Di bawah ‘point of order’, ahli-ahli Parlimen berhak mendapatkan penjelasan daripada pihak Menteri.

— Hafiz Hassan, Kuala Lumpur