Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disaran mewujudkan finishing school bagi menguasai bahasa asing secara berstruktur sedari peringkat awal pengajian pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif itu bagi membolehkan kebolehpasaran pelajar lebih terjamin selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata, kini kelayakan akademik semata-mata tidak menjanjikan graduan dalam mendapat peluang pekerjaan kerana secara umumnya kebanyakan masyarakat kita mempunyai kelayakan akademik yang baik.

“Jadi, nilai tambah graduan berbentuk kemahiran alternatif amat diperlukan dan penguasaan bahasa asing ialah sesuatu yang wajar diberi pertimbangan.

“Dalam usaha mengajar bahasa asing secara sistematik, IPT perlu mewujudkan finishing school supaya pengajian berkenaan lebih berstruktur,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohammad Shatar berkata, pelajar digalakkan untuk melengkapkan diri dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa selepas yang pertama bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

“Jangan hanya berharap dengan kelayakan akademik menerusi segulung ijazah akan membantu kejayaan dalam kerjaya pada masa akan datang kerana keadaan sudah tidak sama seperti dulu.

“Apabila pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Jepun, bahasa Korea dan akan melebarkan lagi peluang mereka dalam alam pekerjaan, malah boleh memohon untuk bekerja di syarikat antarabangsa serta multinasional,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, IPT pula boleh memilih bahasa asing yang mahu dijadikan kebitaraan supaya sampai satu masa nanti menjadi kebiasaan dalam kalangan majikan jika mahu mencari graduan yang mahir sesuatu bahasa boleh ke IPT terbabit.

“Kualiti IPT dan graduan tempatan pastinya akan dapat ditingkatkan pada tahap lebih membanggakan dalam arena pengajian tinggi global seterusnya menjadi buruan majikan untuk mencari bakat baharu di syarikat mereka.

“Sekiranya perkara ini boleh dijayakan secara menyeluruh, pastinya usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa dapat direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette