Foto hiasan. Suasana di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat laporan berkaitan enam pengamal media didakwa menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada Isnin lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed, kawasan tersebut merupakan sebuah dewan menempatkan seramai 496 pesakit wanita positif Covid 19.

Laporan polis dibuat oleh pengurusan PKRC MAEPS yang mendakwa pihak media masuk ke kawasan tersebut bagi membuat liputan hartal doktor kontrak di situ tanpa mendapat kebenaran.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

Dalam kenyataannya hari ini, Md Noor berkata, orang luar dilarang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran dan tindakan seorang pengamal media membuat rakaman dan ‘live’ di situ menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes turut disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman dan ‘live’ di dalam kawasan yang dilarang sehingga menampakkan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah merakam keterangan seramai 17 kakitangan Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian.

Proses rakaman keterangan itu, katanya, bagi membantu siasatan serta mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran media dalam dewan tersebut.

Beliau turut menasihati menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan tindakan yang boleh menyebabkan timbul kegusaran terhadap orang awam.

“Kita akan melengkapkan siasatan ini dengan segera sebelum kertas siasatan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya. – MalaysiaGazette