Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu melakukan ritual membakar replika rumah, mata wang dalam satu upacara kematian di Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

GEORGE TOWN – Sekumpulan 14 individu yang ada hubungan keluarga ditahan bagi membantu siasatan kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan berhimpun dan melakukan ritual mengelilingi api di Bayan Lepas baru-baru ini.

Mereka berbuat demikian bagi satu upacara kematian pada jam 8 malam di atas jalan raya di Pintasan Kelicap, pada Jumaat lalu.

Mereka yang hadir pada upacara itu terdiri daripada anak, menantu, cucu serta ahli keluarga terdekat.

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu melakukan ritual membakar replika rumah, mata wang dalam satu upacara kematian di Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, susulan kematian seorang lelaki warga emas, waris bertindak membakar replika rumah, barang bernilai, mata wang mengikut adat orang Cina.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati seramai 24 individu didapati melanggar SOP dengan terlibat dalam upacara tersebut, namun 14 orang dewasa ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki dan lapan wanita wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

“Kertas siasatan ini telah dihantar ke pihak pendakwa raya dan kita tengah tunggu arahan selanjutnya,” katanya pada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Terdahulu tular satu video berdurasi 44 saat di aplikasi TikTok menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita melakukan ritual mengelilingi api di atas jalan raya. – MalaysiaGazette