GURU
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua warga pendidik akan diberi suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula September ini.

Jaminan itu diberikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin apabila memberitahu, beliau akan bekerjasama dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagi tujuan tersebut.

“Ya, saya dan Menteri Pendidikan akan pastikan bahawa semua warga pendidik akan diberi vaksinasi sebelum sekolah dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PH-Jelutong), RSN Rayer yang meminta jaminan kerajaan bahawa semua guru akan divaksin sebelum sesi persekolahan dibuka.

Bagaimanapun Khairy mengakui, terdapat segelintir guru yang menolak untuk divaksin dan pihaknya meminta supaya pentadbir sekolah menyelesaikan isu terbabit supaya tidak tercetus jangkitan semasa sesi persekolahan bermula.

Sehingga 27 Julai seramai 303,682 guru atau 73.5 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Malah, seramai 45,197 atau 67% anggota kumpulan pelaksana dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak atau 38% juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi vaksinasi guru kelas peperiksaan Tingkatan 5 dan 6, status kemajuan adalah menggalakkan apabila 80,717 atau 90 peratus telah diberi vaksin

“Manakala sektor swasta pula, 66.8 peratus guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” ujarnya.

Menurut Khairy lagi, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KPM dalam memastikan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan diberikan temu janji segera. – MalaysiaGazette