Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak menolak kemungkinan berlakunya jangkitan Covid-19 membabitkan varian baharu di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kes baharu itu dikesan berikutan jumlah kematian yang tinggi membabitkan 13 pekerja walaupun masih belum ada pengesahan ujian makmal setakat ini.

“Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semi konduktor di Tanjung Agas, Tangkak.

“Sehingga semalam, jumlah kes yang dilaporkan di dalam kluster ini adalah sebanyak 462 kes dengan sejumlah 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan, setakat ini.

“Dari bilangan itu seramai 207 (44.8 peratus) orang membabitkan pekerja kilang itu, di mana 155 adalah warga tempatan, manakala 52 kes adalah di kalangan bukan warganegara.

“Sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan di kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, hampir kesemua kematian itu dilaporkan mempunyai komorbiditi atau penyakit kronik dan lewat mendapat rawatan dalam tempoh empat hari (julat 1 hingga 9 hari) daripada gejala dan tarikh mendapat rawatan.

Katanya, punca utama penularan secara meluas di Tanjung Agas dikesan disebabkan oleh ketidak patuhan penjagaan prosedur standard operasi (SOP) dalam kalangan pekerja di tempat kerja mahupun di dalam komuniti.

“Penilaian risiko persekitaran kilang bagi tujuan pembukaan semula kilang tersebut dilaksanakan.

“Dalam tempoh tersebut, beberapa siri pertemuan di antara wakil jabatan kesihatan dan pihak kilang telah diadakan bagi membantu pihak kilang mewujudkan rangkaian kesinambungan perniagaan mereka semasa wabak,” ujarnya.

Menurut Vidyananthan, sebagai langkah pencegahan segera, JKNJ memanjangkan tempoh kuarantin kepada 21 hari bagi kontak rapat.

Mengulas lanjut, kata beliau, kes pertama dilaporkan dalam kluster ini membabitkan seorang pekerja kilang yang mula bergejala (demam) pada 24 Jun lalu, namun sehingga 28 Jun pekerja berkenaan masih lagi berkerja di kilang terbabit.

Pekerja tersebut disahkan positif Covid-19 menerusi ujian calitan RT-PCR di klinik kesihata pada 2 Julai lalu, katanya.

Berikutan itu, tambah beliau, wakil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tangkak membuat siasatan di kilang terbabit pada hari yang sama dan hasil pengesanan kontak dan saringan mendapati beberapa kes lagi dikenal pasti membabitkan pekerja kilang.

“Berikutan bilangan kes dan kematian yang tinggi, JKNJ membuat susulan ke atas tindakan pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan di kluster itu termasuk arahan penutupan kilang yang dilaksanakan bermula dari 3 Julai lalu bagi tujuan siasatan dan aktiviti sanitasi.

“Ia bermula dengan penutupan seksyen yang melaporkan kes di peringkat awal diakhiri penutupan sepenuhnya keseluruhan kilang pada 14 Julai sehingga 20 Julai lalu,” katanya.

Vidyananthan berkata, sebanyak 2,501 ujian calitan Covid-19 dijalankan dan sebanyak 462 kes positif dikenalpasti setakat ini dengan kadar positif sebanyak 18.5 peratus dengan 2,039 lagi hasil ujian adalah negatif.

“Kilang ini mempunyai seramai 4,057 orang pekerja yang majoritinya iaitu 3,806 adalah pekerja warga tempatan yang menetap di Tangkak, Muar dan Jasin, Melaka manakala 251 orang lagi adalah pekerja asing,” katanya.

Beliau memberitahu, sehingga 28 Julai lalu, seramai 1,495 pekerja kilang diarahkan menjalani kuarantin di rumah (HSO) kerana disyaki sebagai kontak rapat.

Katanya, tempoh kuarantin juga ditingkatkan ke 21 hari memandangkan bilangan kematian yang tinggi menyebabkan kemungkinan berlakunya penularan kes varian membimbangkan (VOC) di kilang terbabit. – MalaysiaGazette