Sembilan orang dalam skuad Red Devils disahkan positif memaksa keseluruhan skuad berkenaan menjalani kuarantin kendiri di rumah mereka.

LONDON – Aksi persahabatan pra-musim Manchester United bagi menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini terjejas apabila sembilan pemainnya disahkan positif Covid-19 pada hari Khamis.

Skuad the Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepatutnya berdepan Preston North End dalam aksi persahabatan hari ini.

Ujian itu dibuat selepas aksi persahabatan seri 2-2 menentang pasukan baharu EPL Brentford di hadapan 30,000 penyokong di Old Trafford.

Kini kesemua mereka telah menjalani ujian PCR Covid-19 dan dilaporkan masih menunggu keputusan tersebut.

Sementara menunggu tindakan seterusnya, kesemua pemain dan kakitangan telah diarahkan pulang ke kediaman mereka untuk kuarantin kendiri.

Justeru aksi persahabatan antara Brentford dan juga West Ham menimbulkan persoalan memandangkan Brentford sedang menjalani saringan kendiri selepas menerima pengesahan virus di kem Old Trafford.

Kelab itu menyatakan komitmen tinggi untuk mengekalkan aspek keselamatan dan kesihatan pasukannya setiap masa.

“Aksi persahabatan antara Preston dan Man United terpaksa dibatalkan dan para penyokong yang sudah membeli tiket perlawanan akan dikembalikan bayarannya,” kata kelab itu.-MalaysiaGazette