Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri dagangan minggu ini serta ditutup di paras terendah harian pada Jumaat, berikutan tekanan jualan di seluruh papan, kata peniaga.

Beliau berkata, prestasi bursa tempatan itu turut menjejaki pergerakan di bursa-bursa tempatan dalam persekitaran negatif yang menyelubungi pasaran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras, susut 18.33 mata atau 1.21 peratus kepada 1,494.60 daripada 1,512.93 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.95 mata lebih rendah pada 1,511.98 sebelum bergerak di antara 1,494.60 dengan 1,512.01 sepanjang dagangan pada Jumaat.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 665 berbanding 300, sementara 407 kaunter tidak berubah, 834 kaunter tidak diniagakan dan 64 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.12 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 4.48 bilion unit bernilai RM2.86 bilion pada Khamis.

Peniaga berkata, bursa tempatan kekal dalam aliran rendah sepanjang sesi hari ini, dengan indeks utama diseret turun oleh tekanan jualan ke atas saham berwajaran tinggi, dengan pergerakan cuba melepasi paras sokongan 1,500 mata.

“Ketidakpastian politik yang memuncak dan kes COVID-19 positif di dalam negara kekal tinggi terus menjejaskan pasaran,” katanya kepada Bernama.

Prestasi pasaran tempatan juga sejajar dengan bursa serantau yang rendah walaupun Wall Street mencatatkan penutupan dagangan yang positif dalam tempoh semalaman.

Ini kerana bursa serantau turut dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kenaikan semula kes COVID-19 di seluruh dunia selain kekhuatiran yang berlanjutan terhadap tindakan tegas peraturan di China ke atas sektor pendidikan, hartanah dan teknologi, katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.01 peratus kepada 3,180.16; Kospi Korea Selatan susut 1.24 peratus kepada 3,202.32; Nikkei 225 Jepun merosot 1.80 peratus kepada 27,283.59 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong kurang 1.35 peratus kepada 25,961.03.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, tindakan tegas pengawalseliaan Beijing bagi menghalang kelas persendirian bagi mata pelajaran utama persekolahan telah menyebabkan berlakunya penjualan dalam sektor berkaitan pendidikan.

“Penjualan itu tetap berlaku meskipun jaminan telah diberikan oleh pihak pengawalseliaan China kepada bank-bank pelaburan,” katanya.

Beliau berkata di peringkat tempatan, kaunter perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong dan Sime Darby Plantation masing-masing susut pada Jumaat, mengakibatkan Indeks Perladangan Bursa Malaysia menjadi indeks yang mengalami penurunan terbesar dalam kalangan indeks sektor, apabila ia merosot 2.48 peratus pada penutupan,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun tiga sen kepada RM8.01, Public Bank susut satu sen kepada RM3.98, Petronas Chemicals kurang tujuh sen kepada RM8.04, TNB menguncup sembilan sen kepada RM9.64 dan IHH Healthcare merosot 15 sen kepada RM5.64.

Antara saham aktif, Sersol naik tujuh sen kepada 55 sen, Green Ocean menokok setengah sen kepada 3.5 sen, waran AppAsia menambah 1.5 sen kepada tujuh sen, sementara Kanger dan AT Systematization masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan enam sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 98.30 mata kepada 10,973.47; Indeks FBMT 100 susut 101.62 mata kepada 10,681.25; FBM 70 kurang 23.96 mata kepada 14,518.29; Indeks FBM Emas Shariah merosot 120.54 mata pada 12,049.08 dan FBM ACE menguncup 59.96 kepada 7,080.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 98.84 mata kepada 14,681.45, Indeks Perladangan merosot 153.31 mata kepada 6,039.04 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.79 mata kepada 187.20.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.14 bilion saham bernilai RM2.17 bilion daripada 2.76 bilion saham bernilai RM2.27 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran sebanyak 293.15 juta unit bernilai RM42.73 juta berbanding 342.22 juta unit bernilai RM53.73 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.69 bilion saham bernilai RM502.54 juta daripada 1.37 bilion saham bernilai RM536.16 juta pada Khamis.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 453.75 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (570.82 juta), pembinaan (122.71 juta), teknologi (254.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (84.68 juta), hartanah (242.85 juta), perladangan (20.36 juta), REIT (8.04 juta), dana tertutup (105,500), tenaga (213.79 juta), penjagaan kesihatan (71.95 juta), telekomunikasi dan media (35.82 juta), pengangkutan dan logistik (37.43 juta) serta utiliti (17.69 juta). – MalaysiaGazette