Polis Marin membawa mayat mangsa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan hari ini.

Penemuan motosikal jenis Kawasaki Z1000  di kilometer 5.4 jambatan tersebut membawa kepada petunjuk mangsa berusia 50-an itu.

Penemuan motosikal mangsa di atas jambatan menjadi petunjuk.

Mayat mangsa ditemui nelayan yang melalui kawasan perairan itu pada jam 8.50 pagi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pusat operasi APMM menerima aduan awam melalui MaritIme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi memaklumkan terdapat individu dipercayai terjun dari jambatan pertama Pulau Pinang.

“Bertindak atas maklumat tersebut, bot ronda APMM telah diatur gerak bersama bot Pasukan Polis Marin ke lokasi kejadian.

“Berikutaan lokasi penemuan mangsa di kawasan berbatu, bot ronda APMM tidak dapat menghampiri mangsa dan bantuan dari bot Polis Marin telah digunakan untuk mengambil mayat mangsa tersebut dan telah dibawa ke jeti PPM Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa ditemui di kawasan berbatu dalam keadaan terapung.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette