Foto hiasan. Suasana di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)  sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Sehubungan itu, semua pihak diminta tidak membuat tafsiran tersendiri dan tidak tepat mengenai Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) dan hubungkaitnya dengan Proklamasi Darurat.

Katanya, perkara ini penting penting bagi mengelak salah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung perkara tersebut.

Menurut KKM, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit dibuat di bawah subsekyen 11(1) Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Perintah tersebut, katanya, bertujuan melanjutkan pengisyhtiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga 31 Disember 2021.

“Perintah ini telah menetapkan bahawa semua Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia seagai kawasan tempatan jangkitan,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, dengan berkuatkuasa Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ini pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Selain itu, ia berkuat kuasa bersama peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan ataranya Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara.

KKM berkata, manakala Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu daruat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Kerajaan telah membatalkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan yang berkaitan pada 21 Julai lalu. – MalaysiaGazette