foto: PDRM

PENAMPANG – Polis memberkas semula tiga daripada empat tahanan, yang melarikan diri daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan iaitu dua warga Filipina Mohd Diyazmir Razif Rudyaz, 20, dan Salman Arip, 19, serta seorang warga tempatan Arippian Abdul, 27, ditahan di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Menggatal, Kota Kinabalu, pada 5.45 petang.

“Pada masa yang sama polis masih memburu seorang lagi tahanan yang bolos, seorang warga Filipina iaitu Mohd Rahman Basir, 24,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Haris berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai tahanan berkenaan diminta untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 24 Julai lepas, empat tahanan berkenaan dipindahkan dari Balai Polis Penampang ke PKRC itu selepas disahkan positif COVID-19, sebelum mereka didapati melarikan diri daripada pusat kuarantin berkenaan pukul 3.30 pagi hari ini. – Bernama