KUALA LUMPUR – Empat sampel ujian saringan kes positif Covid-19 hasil daripada saringan di Parlimen dipercayai ada kemungkinan besar varian Delta.
Semua sampel ini berkaitan dengan kes positif di Parlimen yang disaring pada 29 Julai 2021, yang mana RT PCR diagnostik berikutnya menunjukkan positif dengan nilai CT yang rendah.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, sampel-sampel itu telah diterima oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.
“Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenalpasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.
“Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ianya berkemungkinan besar adalah varian Delta,” katanya menerusi Twitter.
Tambahnya, kajian klinikal telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).
Bagaimanapun, katanya, penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya. – MalaysiaGazette