Mak Kah Keong

 

KUALA LUMPUR – MCA dan MIC yang merupakan dua parti komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya lebih memerlukan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Nasional Gerakan, Mak Kah Keong berkata, ini kerana MCA dan MIC adalah parti yang selalu diabaikan dan dipinggirkan dalam keputusan dibuat dalam BN.

Susulan itu, beliau menyifatkan sokongan yang dinyatakan oleh MCA dan MIC kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet untuk meneruskan memimpin negara adalah satu langkah yang tepat pada masanya.

“MCA dan MIC kelihatan dua bintang yang ditenggelamkan oleh kegelapan sehinggalah mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan PN. Jadi eloklah keluar BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan MCA dan MIC yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet untuk terus memimpin negara dalam mendepani pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketua-ketua penerangan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu YAB Muhyiddin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Bagi pihak MCA kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Biro Penerangannya, Chan Quin Er, manakala MIC ditandatangani oleh ketua penerangannya, V Gunalan.

Mak menambah, sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri A Vigneswaran pernah mengeluarkan kenyataan asas pembentukan BN kini terancam apabila semangat hormat-menghormati antara satu sama lain tidak lagi wujud.

“Jika mereka tidak sedar sudah pasti PRU15 banyak kerusi tradisional mereka akan dirampas semula oleh parti komponen diri sendiri.

Tambah Mak, dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik. – MalaysiaGazette