Petugas Unit Forensik melakukan kerja-kerja mengurus mayat yang kini ditempatkan dalam kontena khas selepas peti beku sedia ada telah penuh berikutan peningkat kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021 - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes korban ekoran positif Covid-19 mencatatkan kes tertinggi kepada  219 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 105 kes.

“Sebanyak 219 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 105 kes di Selangor, 41 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 24 kes di Johor, sembilan kes di Melaka, lapan kes di Pahang, tujuh kes di Negeri Sembilan.

“Masing-masing enam kes di Kedah dan Perak, masing-masing empat kes di Kelantan dan Terengganu, tiga kes di Sabah serta masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis,” kata Noor Hisham.

Daripada jumlah itu, 201 adalah warganegara dan 18 bukan warganegara.

Pertambahan itu menjadikan kes kumulatif kematian bertambah kepada 9,403 kes.

Untuk rekod, jumlah tertinggi kematian ekoran Covi-19 sebelum ini adalah 207 kes pada 27 Julai lalu.

Awal hari ini, Noor Hisham berkata, sebanyak 15,764 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini dengan 15,758 kes tempatan dan enam kes import.

“Daripada 15,764 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 286 kes adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 15,478 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” kata Noor Hisham.

Noor Hisham turut berkata, sebanyak 3,525 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19 sekurang-kurangnya telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,063 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 532 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Daripada 15,758 kes itu, 13,224 melibatkan warganegara dan 2,534 bukan warganegara.

Kes aktif pula semakin menghampiri 200,000 kes dengan 199,051 kes setakat hari ini.

Sejumlah 11,767 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak  937,732 kes.

Noor Hisham berkata, sejumlah 29 kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Daripada jumlah itu, 13 adalah Kluster Tempat Kerja ditemui dengan 11 lagi adalah Kluster Komuniti.

Bakinya adalah Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi dengan 3 kluster dan masing-masing satu kluster bagi Institut Pendidikan Swasta Berdaftar KPM dan Keagamaan.

Kluster Tapak Bina Batu Lima 2 (Kluster Tempat Kerja) di ibu negara mencatatkan kes tertinggi positif Covid-19 dengan 179 kes direkodkan hari ini.

Sejumlah 3,731 kluster telah dikesan KKM dengan 2,603 daripadanya telah ditamatkan dan sebanyak 1,128 kluster masih aktif. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setakat untuk memberitahu “we have broken another record high number of deaths” lebih baik tidak payah buat press conference.Adakah jumlah rekod kematian yang tertinggi ini suatu pencapaian yang patut dibanggakan? Begitu juga dengan penambahan kluster-kluster baru tempat kerja dan komuniti, adakah ianya satu kebanggaan juga? Rakyat ingin mengetahui apakah yang KKM telah buat untuk menambah baik SOP-SOP yang sedia ada untuk mengekang kematian dan jes Covid-19 ini.

Comments are closed.