KUALA LUMPUR – Misi Terengganu FC untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kesampaian apabila hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Sabah FC kelmarin.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain gagal memanfaatkan setiap peluang untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol tatkala Sabah terus kuat bertahan di hadapan gawang.
Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto sudah menjangkakan lawan akan mengutamakan aspek serangan dan untuk itu, barisan pemainnya lebih banyak bertahan untuk memastikan mereka tidak bolos.
Apatah lagi, Sabah hadir tanpa lima tonggak utama yang berdepan kecederaan dan digantung perlawanan selain pemain import baharu, Josip Ivancic yang terpaksa dikeluarkan awal pada separuh masa pertama susulan kecederaan.
“Alhamdulillah kami mendapat satu mata yang cukup berharga dan saya berterima kasih kepada semua pemain yang bekerja keras kerana kita sudah kehilangan lima pemain.
“Kita sudah jangkakan Terengganu akan lebih menggunakan aspek menyerang dan sebab itu, saya tekankan kepada pemain agar lebih banyk bertahan sebelum cuba melakukan beberapa asakan juga.
“Kita tahu apabila Ivancic keluar, jadi kita hanya ada satu pemain gantian iaitu Bobby Gonzalez dan dia juga melakukan tugas baik bukan sahaja menyerang, tetapi turut membantu di bahagian pertahanan,” katanya.
Selepas empat perlawanan terakhir, Sabah masih lagi mencari kemenangan apabila meraih dua seri dan tewas dalam dua perlawanan.
Dalam pada itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh pula menyifatkan keinginan yang mendalam untuk memenangi perlawanan semalam menyaksikan mereka lebih banyak bertahan selepas berjaya menjaringkan satu gol di separuh masa pertama.
Ini kerana, anak buahnya lebih berhati-hati pada separuh masa kedua untuk memastikan gawang tidak dibolosi dan beberapa percubaan yang dilakukan juga tidak menyebelahi tuan rumah untuk menambah jaringan.
“Secara keseluruhan, saya nampak pemain-pemain sudah keletihan dan memandangkan kita sudah selalu seri, jadi mereka mungkin fikir nak nak jaga kemenangan itu dan itu yang membuatkan corak permainan yang sepatutnya tiada.
“Saya lihat mereka lebih menumpukan untuk bertahan daripada bermain mengikut corak yang sepatutnya kita main.
“Saya ada tengok juga pemain import, Kenny Athiu mendapat tiga empat peluang yang sepatutnya tetapi mungkin malam ini (Ahad) bukan malam untuknya.
“Manuel Hidalgo pun bermain dengan baik cuma mungkin agak keletihan, tetapi kalau kita nak terus mendaki liga, kita tak boleh buat macam mana kita buat dalam perlawanan itu,” katanya.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu menyaksikan Sri Pahang menang 1-0 ke atas PJ City FC.
Dalam keputusan lain pada Sabtu lalu, Kuala Lumpur City seri 1-1 dengan Melaka United FC, Penang FC tewas 1-4 kepada Selangor FC manakala JDT menang 5-0 ke atas Perak FC. – MalaysiaGazette