KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal malaysia Melaka (UTeM) merekodkan pendaftaran seramai 482 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian peringkat diploma pengambilan sesi 2021/2022 semalam secara dalam talian.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, UTeM terus menjadi pilihan bagi para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.

Jelas beliau, seramai 482 orang pelajar ini mendaftar bagi lima kursus yang ditawarkan UTeM iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.

“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati ramai lepasan SPM kerana pengajian kejuruteraan ini terus relevan dan berkebolehpasaran tinggi selepas bergraduat dan turut mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau menyatakan pelajar baharu ini mengikuti sesi perkuliahan Semester Khas Sesi 2021/2022 bermula 3 Ogos secara dalam talian dengan
mengambil kursus wajib universiti yang dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.

Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar, UTeM Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di UTeM
terus mendapat sambutan baik dan menunjukkan tren UTeM terus menjadi pilihan lepasan SPM menyambung pengajian di peringkat diploma pada setiap tahun.

Katanya, kursus Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma kejuruteraan Mekanikal terus mendapat permohonan paling pantas seawal permohonan dibuka di samping permohonan bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Diploma Kejuruteraan Elektronik turut memberangsangkan.

Berhubung keputusan rayuan kemasukan pula, Misdom berkata, keputusan rayuan dijangka dikeluarkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) pada pertengahan Ogos nanti. – MalaysiaGazette