Siti Bainun bersama peguamnya di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan semula hak penjagaan lima anak angkat di bawah jagaannya akan didengar pada 14 September depan.

Mahkamah Kanak-Kanak di sini menetapkan tarikh tersebut selepas Siti Bainun serta lima ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan tersebut dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan itu juga bagi pembatalan perintah interim yang di berikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Menurut peguam yang mewakili pemohon, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, sepatutnya hari ini adalah pendengaran permohonan selepas pihaknya bertindak memfailkan perakuan segera.

“Namun pihak JKM tidak bersedia dan mahu membalas afidavit yang difailkan dan mahkamah menetapkan satu tarikh lain (14 September) untuk pendengaran permohonan tersebut,” katanya selepas prosiding dihadapan Majistret Norfarahain Roslan.

Lima anak jagaan yang dituntut itu berusia antara dua hingga 14 tahun yang kesemuanya sebelum ini dibawah jagaan Siti Bainun dengan dua daripadanya adalah Sindrom Down.

Kelima-limanya kini di bawah JKM.

Nur A’minahtul juga mendedahkan pihaknya telah mendapat perintah secara interim untuk Siti Bainun diberikan akses panggilan video (video call), penghantaran lampin pakai buang, susu.

Juga gajet bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan sementara lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak yang hadir bagi pihak responden adalah Noor Afdzan Mohd. Sahandrigani, Asiah Bachok dan Mohd. Imran Mohd. Zanyuin.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang juga pengasas Rumah Bonda ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja Orang Kelainan Upaya.

Namun permohonan reman ke atas wanita itu ditolak Majistret berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast