KUALA LUMPUR – Kes dakwaan rasuah terhadap pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail yang dijadual hari ini Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditunda.

Ini kerana ahli perniagaan itu didapati positif Covid-19 semalam.

Sepatutnya Shamsubahrin dibicarakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Menurut peguam mewakili Shamsubahrin, Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi, anak guamnya sedang menjalani kuarantin seperti yang telah diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas Muhammad Noor, anak guamnya didapati tidak berapa sihat sebelum membuat pemeriksaan dan selepas diuji dia didapati positif Covid-19.

Dalam prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa Abd. Muntaqim Abdul Aziz yang mewakili pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.

Hakim kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Semalam media melaporkan seorang pemilik syarikat teksi akan didakwa di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu kononnya bagi membantu menyelesaikan kes rasuah yang sedang dibicarakan.

Sumber berkata, lelaki berusia 50-an itu akan didakwa kerana meminta rasuah berjumlah RM95,000 daripada seorang individu yang kesnya sedang dibicarakan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Kata sumber SPRM itu, suspek meminta wang itu kononnya untuk dibayar kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai di Pejabat Peguam Negara yang menjalankan kes berkenaan.

Daripada jumlah yang diminta itu, suspek dipercayai sudah menerima RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, kemudian suspek meminta lagi RM35,000 secara tunai.

Suspek akan didakwa menerima dan meminta rasuah itu mengikut Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette