Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berjanji menggalas tanggung jawab sebaik mungkin walaupun negara berdepan pelbagai polemik politik pada masa ini.

Walaupun mengakui ia boleh memberi kesan kepada kerajaan negeri namun beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor itu berikrar menjalankan tugas dengan baik selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor hari ini.

“Kami (UMNO) berjanji untuk terus menjunjung penuh amalan demokrasi selain mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Johor,” ciapnya di Twitter rasminya.

Menteri Besar Johor,Datuk Hasni menerusi akaun sosial media miliknya berjanji akan terus menjunjung amalan demokrasi walaupun pelbagai isu politik melanda negara masa inu.

Terdahulu Hasni bersama 10 Exco kerajaan Johor menyertai mesyuarat mingguan di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini hari ini.

Dalam mesyuarat berkenaan difahamkan hanya Exco Kerja Raya,  Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri tidak hadir disebabkan sedang menjalani kuarantin Covid-19.

Semalam, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Dalam konteks Johor, negeri itu ada 56 kerusi DUN dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua),  Pas (satu) sementara parti Amanah (sembilan) dan PKR pula (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi blok pembangkang selepas Bersatu memberikan sokongan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan negeri berikutan kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada Februari tahun lalu.- MalaysiaGazette