KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dinaiki seorang Menteri kelihatan memasuki kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, kira-kira 9.40 pagi tadi.

Kereta yang bercermin gelap itu antara kenderaan rasmi seorang menteri yang pertama menemui Tan Sri Muhyiddin Yassin, pagi ini.

Bagaimanapun, setakat jam 10.30 pagi tadi, masih tidak kelihatan mana-mana kenderaan Menteri Kabinet lain mahupun pimpinan politik menemui Ahli Parlimen Pagoh itu.

Sebelum ini, kediaman Muhyiddin kembali menjadi tumpuan petugas selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik balik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun kediaman Perdana Menteri kembali reda daripada tumpuan media selepas Muhyiddin membuat perutusan khas mengenai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin semalam, beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast