Lionel Messi. Foto www.fcbarcelona.com

MADRID – Pengakhiran Era!! itu ungkapan sesuai untuk Barcelona yang akhirnya akur dan menerima hakikat bintang superstar mereka Lionel Messi bakal meninggalkan Nou Camp selepas 21 tahun kali ini.

Sudah tiba masanya untuk bintang Argentina itu mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang disertainya sejak berusia 13 tahun dan menjuarai 31 piala dan gelaran liga domestik dan di peringkat Eropah serta dunia.

The Catalans terpaksa menyerah kalah selepas gagal meyakinkan dan memperbaharui kontrak pemain itu untuk terus kekal di Nou Camp selepas mengesahkan tiba masanya untuk kedua-dua pihaknya berpisah dan mengucapkan selamat tinggal kepada pemain itu.

Justeru kelab gergasi Sepanyol itu menyalahkan kekangan ekonomi La Liga menghalang pihaknya daripada mempertahankan pemain itu.

Sejak Mei lalu, kelab berkenaan berdepan pelbagai cabaran berpeluh untuk memujuk pemain itu menerima potongan gaji sehingga 50 peratus sebagai mematuhi peraturan Keadilan Kewangan (FFP) La Liga untuk terus membolehkan pemain itu kekal di Nou Camp.

Dan itulah menjadi harapan tinggi peminat setianya di serata dunia.

Malangnya segala impian itu kini akan tinggal sekadar kenangan untuk kelab dan penyokongnya selepas pemain itu sah meninggalkan kelab itu bila-bila masa dari sekarang.

Messi menjadi ejen percuma sejak Jun lalu selepas kontrak asalnya tamat tetapi diharapkan dia diikat kontrak baharu semula ekoran beberapa inisiatif positif yang ditunjukkan kelab itu ke atas pemain berkenaan.

Kini kelab itu mengesahkan kontrak itu sudah ‘mati’ akibat kekangan ekonomi dan struktur berikutan peraturan FFP La Liga yang bersifat hipokrit.

Dalam satu kenyataan mengejut pada malam Khamis, Barcelona berkata walaupun mencapai perjanjian antara Barcelona dan Leo Messi, kedua-dua parti itu berpendirian jelas untuk menandatangani kontrak baharu namun tidak dapat dimeterai akibat kekangan peraturan ekonomi La Liga.

“Dengan mengambil kira situasi getir ini, Messi tidak lagi akan dikaitkan dengan Barcelona.

“Kedua-dua pihak amat dukacita bahawa harapan kedua-dua pihak pemain dan kelab tidak dapat dipenuhi.

“Oleh itu Barcelona ingin merakamkan jutaan penghargaan dengan sepenuh hati atas segala sumbangan pemain terhadap pemerkasaan institusi kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya dalam hidup dan profesional bola sepak selepas ini,” kata kelab itu.

Awal petang semalam berita kehidupan Messi telah tiba di penghujung di Nou Camp telah dibongkar oleh Radio Catalan RAC1.

Pemain berusia 34 tahun itu menjelaskan bahawa dia telah meluahkan pandangannya kepada kelab itu pada Rabu lalu selepas pulang ke ibu kota Madrid dari cuti musim bersama isteri dan anaknya.

Sementara berita berkenaan tersebar luas dalam talian dan media sosial, bapa Messi berkongsi semula laporan Messi akan meninggalkan Nou Camp dengan kapsyen ringkas yang berbunyi “Lie(penipuan)”.

Messi difahamkan bersedia menerima potongan gaji sebanyak 50 peratus setiap minggu daripada gaji asalnya yang mencecah £425 juta untuk empat tahun sebagai usaha mendaftarkan semula pemain itu dengan La Liga.

Ini bermakna pendapatan Messi akan dipotong setiap minggu dalam tawaran kontrak baharu bertempoh lima tahun.

Justeru perjumpaan serius antara ejen Messi dan kelab berkenaan tidak mencapai objektif dan penyelesaian yang dikehendaki Barcelona.
Ketika Messi dikaitkan dengan penghijrahan ke PSG dan juga Manchester City, berita mengejutkan dunia bola sepak itu menyusul selepas Messi bertemu dengan Neymar.

Neymar selepas meninggalkan Barcelona pada 2017 ke PSG, sering meluahkan hasratnya untuk beraksi bersama Messi semula suatu hari nanti.

Pada Rabu, Neymar memuat naik gambar dia bersama Neymar dan beberapa pemain PSG iaitu Angel di Maria, Leo Parades dan Marco Veratti dengan kapsyen ‘Amigos’.

Situasi terbaharu kini menyaksikan Barcelona tidak lagi boleh menghalang Messi daripada menyertai mana-mana kelab terbesar Eropah musim ini.

Ia juga menjadi tamparan hebat kepada presiden kelab itu Joan Laporta yang kembali semula dengan berazam mengekalkan pemain dalam pembangunan skuad baharu di bawah jurulatih Ronald Coeman.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast