Kane nafi khabar angin mengatakan dia sengaja ponteng sesi latihan kelab sebagai usaha memaksa Spurs membenarkannya menyertai Man City.

LONDON – Penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane berkata, dia tidak pernah dengan sengaja ponteng sesi latihan kelab dan akan kembali ke kelab pada Sabtu seperti dijadualkan.

Kane, 28, yang telah melanjutkan cutinya selepas Euro 2020, tidak menghadiri dua sesi latihan kelab itu pada Isnin untuk ujian saringan Covid-19.

Ketidakhadirannya telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City selepas rakan sepasukan Three Lions Grealish melengkapkan perpindahan bernilai £100 juta ke Etihad.

Kane percaya dia mempunyai perjanjian dengan pengerusi Spurs Daniel Levy.

Kane meluahkan rasa kekesalan mengenai komen dan gosip yang mengaitkannya dengan kelab Manchester sehingga profesionalisme dirinya dipersoalkan.

“Saya ingin menjelaskan saya tidak pernah sesekali menolak sebarang sesi latihan pasukan dan saya akan kembali ke pusat latihan esok seperti dirancang.

“Saya tidak rela melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengkhianati penyokong setia Spurs yang selama ini bersama saya dalam suka dan duka,” kata pemain itu dalam ruang akaun Twitter peribadinya.

Terdahulu Pep Guardiola mengesahkan minat kelab untuk mendapatkan khidmat pemain itu namun setakat ini tiada bidaan rasmi dikemukakan dan tidak ada siapapun yang dilihat boleh menepati klausa £160 juta yang ditetapkan kelab itu.

Pengurus baharunya Nuno Espirito berkata dia masih belum bercakap dengan Kane sejak mengambil alih pengurusan kelab itu.

Kane menjaringkan 23 gol musim lalu sekaligus merangkul anugerah kasut emas.- BBC Sport.com

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast