Jaringan Prihatin Programme Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Indikator baharu iaitu bilangan kes kemasukan baharu hospital yang bergejala sebagai salah satu daripada indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Keputusan ini dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan, serta pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, MPN juga memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada (iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu) apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 telah mencapai kadar sekurang-kurangnya 50% penduduk dewasa.

Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit di dalam Kategori 3, 4 dan 5, katanya yang juga Menteri Kewangan.

Nilai ambang bagi bilangan kes bergejala adalah seperti
berikut:

Menurutnya, dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa yang selanjutnya, ianya masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti ICU dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Sebagai contoh, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di Fasa 1, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50% penduduk dewasa, indikator kes yang akan diguna pakai ialah kes kemasukan hospital baharu yang bergejala.

Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke Fasa 2 jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (“Sederhana”).

”Keputusan ini juga diambil selepas risiko penularan dilihat jelas terkawal di negeri Sarawak dan wilayah Labuan, dengan pengurangan ketara kes bergejala dan yang memerlukan rawatan di wad ICU.

”Walaupun Sarawak dan Labuan berdepan dengan penggunaan kapasiti wad ICU penuh semasa bulan Jun, namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50% pada bulan Julai, penggunaan kapasiti wad ICU telah menurun bagi kedua-duanya dan mencapai tahap “Mencukupi”.

”Justeru, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari tetapi bilangan pesakit baharu Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 pesakit atau 2% daripada kes harian.

Tengku Zafrul berkata, negara-negara seperti United Kingdom juga telah mengambil pendekatan yang tertumpu kepada kadar kes bergejala dan telah terus membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya, iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi.

Sejak dari awal pengumuman PPN, kerajaan telah menekankan PPN perlu bersifat dinamik, yang mana semua pendekatan yang diambil adalah berdasarkan data dan sains.

Ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa.

Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambahbaik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial
dalam konteks peralihan fasa PPN, tambah beliau. – MalaysiaGazette