E. Elavarasan. Foto Facebook Sarawak United Official.

KUALA LUMPUR – Pengendali Sarawak United, E. Elavarasan mahu anak buah belajar daripada kesilapan ketika tewas kepada Terengganu FC II pada Selalu lalu dan yang penting perlu menang ke atas Kelantan FC pada malam ini.

Setakat ini, Sarawak United hanya tewas dua kali dalam 12 perlawanan dan mereka enggan berdepan lebih banyak kekalahan apatah lagi aksi pada malam ini akan berlangsung buat kali pertama di Stadium Negeri.

“Kami sudah lama menantikan untuk beraksi di laman sendiri, dan akhirnya pada malam ini kita dapat juga bermain di Stadium Negeri.

“Jadi, saya ingatkan kepada pemain bahawa kita tidak boleh tercicir mata apatah lagi di rumah sendiri dan mahu atau tidak, kena kembali konsisten dengan kemenangan seperti pada awal musim dahulu.

“Sekarang kita di nombor tiga dalam liga, jadi saya rasa kalau kita berjaya elak daripada kalah, kita boleh kembali bangkit untuk berada di atas”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Selain aksi Sarawak United dan Kelantan FC, dua lagi perlawanan Liga Premier akan berlangsung pada malam esok membabitkan Selangor FC 2 menentang Perak FC II dan Johor Darul Ta’zim (JDT II) melawan Skuad Projek Fam-MSN. – MalaysiaGazette