Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jamĀ  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Empat daripada 39 kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan aktiviti keagamaan dan penganjuran majlis sosial.

Berdasarkan rumusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), salah satu daripadanya dikenali Kluster Kampung Derang di Kota Setar, Kedah yang sehingga kini sudah menjangkiti seramai 38 orang hasil saringan terhadap 141 orang individu.

“Kluster ini melibatkan individu-individu yang menghadiri sebuah aktiviti sosial sempena sambutan perayaan di Kampung Derang, Pokok Sena, Kota Setar.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun yang dilaporkan positif pada 23 Julai lalu hasil saringan individu bergejala,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dua kluster di Kampung Gok Kapor, Kota Bharu, Kelantan dan kluster Rantau Seroja, Maran, Pahang dilaporkan tercetus akibat aktiviti ziarah di kawasan tersebut.

Setakat ini, Kluster Gok Kapor pula telah menjangkiti seramai 19 orang hasil saringan 27 individu dengan kes indeks melibatkan melibatkan seorang warga emas berusia 77 tahun yang disahkan positif.

“Kluster Rantau Seroja melibatkan aktiviti ziarah-menziarahi sempena sambutan perayaan pada 20 Julai lalu dengan kes indeks seorang wanita warga tempatan berusia 36 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Julai,” ujarnya.

Manakala kluster Gajah Mati di Jerantut, Pahang pula dilaporkan melibatkan sebuah majlis sosial yang berlangsung pada 24 dan 25 Julai lalu. – MalaysiaGazette