Rozita Che Wan.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Rozita Che Wan tidak menyangka rakan artis, Azwan Ali sanggup menujukan kata-kata kesat terhadap dirinya menerusi satu ciapan di laman Twitter semalam.

Menerusi perkongsian di instagram miliknya, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Azwan dan sudah tiga kali bekerjasama di lokasi sepanjang tahun ini.

“Dalam tahun ini sahaja sudah tiga kali kami berjumpa, borak dan ambil gambar serta membuat panggilan video.

“Pertama kali jumpa tahun ini, saya jadi tetamu untuk rancangan Lagu Cinta Kita, selepas itu kami sama-sama menjalani penggambaran Pung Pang Rizalman Raya dan kali terakhir sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami shoot rancangan memasak untuk saluran Youtube.

“Betullah kata orang, kalau di depan mulutnya manis, balik belakang bicara lain,” tulis Che Ta.

Dalam masa sama, Che Ta turut  terkilan dengan tindakan Azwan kerana mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Walaupun begitu, Che Ta tetap menyelitkan doa buat Azwan dalam kemas kini di laman Instagramnya.

“Tapi tak sangkala kan, kadang-kadang orang yang kita dah lama kenal, yang kita rasa kita tiada masalah dengan dia, kita rasa dia baik dengan kita rupanya kita kena ‘baik-baik’ (berhati-hati) dengan orang macam ini.

“Semoga manusia macam ini Allah bagi dia hidayah supaya dia tidak dianggap sampah. Allahuakbar,” ujarnya.

Terdahulu di laman Twitter, Azwan mengepilkan sekeping gambar Che Ta memakai baju berwarna kelabu dengan ciapan berunsur kata-kata makian.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada ciapan tersebut sudah dipadam atau sebaliknya kerana akaun Twitter milik Azwan diletakkan dalam mod privasi. – MalaysiaGazette