Dua anggota polis maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas menerusi operasi samseng jalanan di Kilometer 24.4 Lebuh Raya Silk arah Kajang ke Putrajaya, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas menerusi operasi samseng jalanan di Kilometer 24.4 Lebuh Raya Silk arah Kajang ke Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Sarjan Mohd Arifah Md Yassin, 36 dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis trafik berpangkat sarjan dari arah Kajang telah bertembung dengan motosikal seorang konstabel yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah D4.

“Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang menjalankan tugas bersama-sama dalam operasi samseng jalanan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mengejar suspek lumba haram dan lokasi kejadian adalah laluan yang sering digunakan oleh samseng jalanan untuk berlumba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette