gambar file
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki memukul isterinya sehingga cedera dalam kejadian di Taman Kencana, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak berkata, suspek berusia 51 tahun ditahan kira-kira pukul 3.15 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Kejadian berlaku ketika isteri suspek yang berusia 40 tahun berada di dapur kediaman mereka sebelum tercetus pertengkaran selepas wanita terbabit mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

“Akibat pertengkaran tersebut, suspek menampar kedua-dua belah pipi mangsa beberapa kali, memukul kepala, menolak serta memukul badannya.

“Selepas kejadian, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik makmal itu terus keluar dari rumah dan hadir ke balai untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Farouk, pasangan terbabit sudah berkahwin selama enam tahun dan mempunyai dua orang anak perempuan masing-masing berusia dua tahun dan dua bulan.

Tambahnya, suspek juga sudah tiga tahun tidak bekerja dan tinggal bersama kedua ibu bapa isterinya.

“Mangsa mengalami lebam pada kedua-dua belah pipi, luka pada ibu jari kaki serta luka di dalam mulut dan telah mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” ujarnya.

Kata Mohamed Farouk, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing yang dijalankan turut negatif dadah.

Ujarnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 11 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette