Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menang pingat perak dalam acara keirin lelaki Olimpik Tokyo hari ini.

“Syabas “The Pocket Rocketman”.

“Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

“Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Muhyiddin, biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar itu tentunya memberi makna cukup signifikan buat Azizulhasni dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh beliau.

“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan jurulatih dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan yang dicapai.

Beliau turut menasihatkan pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bahawa kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangatnya.

Katanya, iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan mereka adalah wira yang perlu disanjungi. – MalaysiaGazette