Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan siasatan dan pensampelan kualiti air kolam takungan di Sungai Langat dan mendapati ia berada dalam keadaan baik dan tiada pencemaran.

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan siasatan dan pensampelan kualiti air kolam takungan di Sungai Langat dan mendapati ia berada dalam keadaan baik dan tiada pencemaran.

Berdasarkan rekod Indeks Kualiti Air (IKA) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang yang berada di hulu premis tersebut juga dalam keadaan baik iaitu Kelas II  (April 2021) dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

“Manakala siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) juga mendapati pelepasan efluen dari premis tersebut tidak memasuki kolam takungan dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditetapkan,” kata LUAS dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan dilakukan ekoran menerima aduan pencemaran yang berlaku di Sungai Langat melibatkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu.

Tambah LUAS, pemeriksaan terhadap premis berkenaan juga telah dijalankan sebanyak tiga kali oleh JAS bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Berdasarkan rekod JAS, IKA Sungai Langat pada bulan lalu menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding 72 pada tahun lepas.

“Hasil siasatan dan penemuan ini telah dibincangkan bersama JAS dan Majlis Perbandaran Kuala Langat serta wakil daripada Gabungan Lestari Alam Kuala Langat.

“Justeru, kualiti sumber air dan aktiviti persekitaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan menjejaskan muka sauk bekalan air akan dipantau dari semasa ke semasa oleh LUAS, JAS dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat,” ujar kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, LUAS turut mengambil maklum mengenai beberapa lagi penemuan dan aktiviti di lokasi sekitar yang diadukan dan berpotensi menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran dan penurunan kualiti air Sungai Langat.

Menurut LUAS, pihaknya akan meneliti lanjut perkara tersebut dalam memastikan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar yang kondusif.

“LUAS juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan dalam seksyen 79, Enakmen LUAS 1999.

“Kerajaan Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya sungai, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan untuk diambil tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast