KUALA LUMPUR – Tiga lagi kes baharu positif Covid-19 dikesan hari ini berkait persidangan Dewan Rakyat menjadikan jumlah yang dikesan semasa sesi yang sama kini mencecah 20 kes semuanya.
Manakala angka keseluruhan kes berkaitan sidang yang sama sejak 26 hingga 29 Julai lalu berjumlah 88 kes positif yang disahkan menerusi ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 60 kes positif dikesan ketika saringan pra Dewan Rakyat manakala 20 kes lagi dikesan semasa Dewan Rakyat bersidang dan lapan kes menerusi saringan pra Dewan Negara.
Untuk makluman tiga kes baharu tersebut dilaporkan semalam dan mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR di antara 19.15 sehingga 22.27 (bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi).
“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kesemua individu berkenaan mempunyai gejala ringan dan sudah melengkapkan dua dos vaksin.
Katanya lagi, hasil siasatan mendapati mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga.
“Siasatan untuk mengenalpasti kontak rapat semasa persidangan diteruskan oleh pejabat kesihatan daerah berkenaan.
“Semua individu yang hadir ke Parlimen dinasihati untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera,” katanya. MalaysiaGazette
















