KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada bulan Jun meningkat kepada 4.8 peratus kepada 768,700 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam keluaran laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia Bagi Bulan Jun dan Suku Kedua 2021.

Bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.30 juta orang pada bulan Jun (Mei 2021: 15.37 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh sebanyak 0.4 mata peratus kepada 65.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus dalam tempoh itu (Mei 2021: 4.5%) setelah merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-turut.

Bilangan penganggur naik sebanyak 40,600 orang (+5.6%) kepada 768, 700 orang (Mei 2021: 728.1 ribu orang).

Tahun ke tahun, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1 mata peratus berbanding 4.9 peratus pada Jun 2020 manakala bilangan penduduk bekerja
berkurang sebanyak 4,600 orang (Jun 2020: 773.2 ribu orang).

”Dalam usaha negara untuk terus melandaikan peningkatan kes harian baharu Covid-19, kedudukan tenaga buruh pada Jun 2021 berdepan dengan cabaran.

”Lonjakan kes harian membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan tersebut di mana hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi meliputi aktiviti perniagaan berkait dengan makanan dan minuman, utiliti, keselamatan, penjagaan kesihatan & perubatan, pengangkutan, perbankan, komunikasi dan aktiviti pembinaan penting.

”Perniagaan kecil seperti gerai atau penjaja makanan dan minuman turut dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Di samping itu, sebahagian daripada tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang membawa kepada penurunan dalam tenaga buruh kepada 16.07 juta orang berbanding Mei 2021 iaitu 16.10 juta orang.

Penurunan dalam tenaga buruh ini adalah yang pertama direkodkan sejak April 2020 berikutan pandemik melanda negara. Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih rendah dicatatkan iaitu pada 68.3 peratus (Mei 2021: 68.5%).

Bilangan penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi pada Jun 2021 menunjukkan kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan guna tenaga dengan sektor perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama dua belas bulan.

Penurunan dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya di aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; hartanah; dan perdagangan borong & runcit.

Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja (77.6%) yang merupakan komposisi terbesar penduduk bekerja telah berkurang sebanyak 56,700 orang (-0.5%) kepada 11.87 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mei 2021: 11.93 juta orang).

Sementara itu, penduduk bekerja sendiri mencatatkan pertambahan sebanyak 4,100 orang kepada 2.50 juta orang (Mei 2021: 2.49 juta orang).

Berikutan pelaksanaan PKP Penuh sepanjang Jun telah menyebabkan bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat dengan ketara sebanyak 661,400 orang kepada 801,100 orang berbanding Mei 2021 (139.6 ribu orang).

Situasi yang sama juga pernah dialami ketika pelaksanaan pertama PKP tahun lepas di mana berlaku peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu.

Mengulas lebih lanjut mengenai kedudukan pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.6 peratus daripada jumlah penganggur.

Bilangan ini meningkat sebanyak 33,000 orang merekodkan 642,900 orang (Mei 2021: 609.9 ribu orang).

Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 52.3 peratus daripada penganggur yang aktif manakala 9.8 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Trend yang sama juga dilihat dalam penganggur tidak aktif iaitu golongan yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia dengan pertambahan sebanyak
7,600 orang (+6.4%) kepada 125.8 ribu orang (Mei 2021: 118.2 ribu orang).

Mengulas prestasi keseluruhan bagi suku kedua 2021, beliau berkata, pada suku ini, bilangan tenaga buruh berkurang sebanyak 36,100 orang kepada 15.97 juta orang berikutan penurunan bilangan penduduk bekerja dan penganggur.

Bilangan penduduk bekerja berkurang sebanyak 0.2 peratus kepada 15.21 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Kadar pengangguran pada suku kedua kekal 4.8 peratus mencatatkan bilangan penganggur seramai 764, 900 orang (ST1 2021: 771.8 ribu orang).

KPTB pada suku ini adalah 68.3 peratus dengan kedua-dua lelaki dan perempuan masing-masing mencatatkan kadar 80.8 peratus dan 55.0 peratus. – MalaysiaGazette