Tindakan Thomas Tuchel membawa balik Lukaku ke Stamford Bridge disifatkan sebagai kesilapan besar kelab EPL itu musim ini oleh bekas pertahanan the Blues Johnson. foto kredit: Chelseafc.com

LONDON – Ketika para penyokong setia Chelsea teruja selepas berita bekas pemain mereka Romelu Lukaku akan kembali ke Stamford Bridge,  ada pula laporan  mendakwa pembelian semula pemain Belgium dari Inter Milan sebagai satu kesilapan besar.

Bekas bintang pertahanan the Blues Glen Johnson berpendapat pembelian semula Lukaku oleh the blues dengan dana besar £97.5 juta adalah satu risiko yang bakal ditanggung juara bertahan Liga Juara Eropah itu.

Mengikut laporan terkini di Milan, bekas pemain Red Devils itu sudah selesai menjalani ujian perubatan di Itali dan sudah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Milan ke London.

Penyertaannya ke Stamford Bridge bakal dimuktamadkan minggu ini.

Dia juga akan menjalani ujian kecergasan perubatan fasa kedua di Chelsea selepas mendarat di London menjelang petang Isnin.

Lukaku telah beraksi untuk Chelsea selama tiga musim di bawah bimbingan Jose Mourinho di awal kariernya sebelum menyertai Everton.

Pemain itu berhijrah ke Old Trafford juga di bawah kendalian Jose Mourinho sebelum menyertai Inter Milan.

Pemain berusia 28 tahun itu telah menjalani musim yang sukses bersama Inter Milan dalam Serie A Itali apabila membantu kelab kendalian Antonio Conte menjulang gelaran pertama selepas sedekad didominasi Juventus.

Dia juga muncul sebagai penjaring terbaik Serie A dengan 30 gol dan kembali sebagai pemain berkelas dunia ke kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Namun, di sebalik kegembiraan kelab dan penyokong the Blues, pemain legenda kelab berkenaan merasakan Lukaku bukan pemain sesuai untuk EPL yang lebih tertumpu kepada kekuatan fizikal dan aksi yang pantas berbanding liga lain di Eropah.

Johnson tanpa berselindung menjelaskan bahawa Chlesea telah melakukan satu kesilapan besar dengan menandatangani semula pemain itu.

“Secara ikhlas saya tidak pasti sejauh mana EPL sesuai untuk Lukaku.

“Dia seorang pemain berbadan besar, bertenaga, tetapi saya rasa terlalu cepat untuk dia kembali ke EPL.

“Saya tidak gemar melihat dia (Lukaku) kembali beraksi untuk Blues dalam EPL kali ini..tetapi dalam liga tertentu dia boleh menjaringkan gol,” katanya.

Sebelum ini Chelsea dikaitkan rapat dengan bintang muda Borussia Dortmund Erling Haaland sebelum beralih kepada keputusan untuk membawa pulang Lukaku.

Johnson menambah berbanding Lukaku Chelsea sepatutnya fokus kepada Haaland yang mampu membawa impak tinggi dalam EPL.

“Chelsea lebih memerlukan Haaland berbanding Lukaku dan Haaland mempunya karier terbaik jika dia bijak dalam memilih kelab,” tegasnya.-Metro.co.uk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast