Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali

KUANTAN – Seorang jurutera ditemui mati dalam keadaan terlentang di sebuah surau selepas bermain golf dalam kejadian petang Sabtu lalu di Indera Mahkota, Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihak polis menerima aduan oleh seorang wanita memaklumkan ada seorang lelaki jatuh dan tidak sedarkan diri berhampiran surau di MGCC Indera Mahkota.

“Hasil penemuan pihak polis mendapati seorang lelaki Melayu dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian yang telah ditutup dengan sehelai kain pelikat sudah tidak bernyawa.

“Pihak ambulan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) telah dihubungi dan pembantu perubatan tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Walau bagaimanapun pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa yang berasal dari Permatang Badak, Kuantan tidak menemui sebarang kesan atau tanda yang berunsurkan jenayah.

Menurut saksi, mangsa bersama tiga rakan lain bermain golf pada pukul 1.35 petang, namun sekitar jam 5.15 petang  apabila sampai di lubang 18 selepas membuat pukulan bola, mangsa telah berhenti bermain.

Seorang rakannya berkata, mangsa yang berusia 42 tahun ada mengadu berhenti bermain kerana berasa hendak pitam telah meninggalkan kumpulannya dengan menaiki buggy untuk pergi berehat.

“Apabila saksi hendak pulang, dia masih nampak kenderaan milik mangsa lalu dia berusaha menjejaki mangsa dengan menghubungi beliau tetapi gagal dan dimaklumkan pihak kaunter bahawa mangsa berada di surau.

“Rakannya bergegas ke surau dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri lalu terus menghubungi abang ipar mangsa memaklumkan kejadian .

Tambah Mohamad Noor, hasil pertanyaan kepada abang ipar mangsa, mangsa tidak mengadu atau mempunyai sebarang penyakit.

“Mangsa juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada 2 Ogos lalu dan keputusan negatif Covid-19 sebelum masuk bertugas di Lynas Gebeng.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Forensik HTAA bagi membuat ujian calitan Covid-19 dan bedah siasat akan dijalankan sejurus hasil ujian Covid-19 negatif. – MalaysiaGazette