Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN –  Polis merakam keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Kon Yeow menerusi satu kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata, sesi rakaman keterangan itu berlangsung selama 45 minit bermula jam 10 pagi tadi.

“Seorang wakil Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) telah hadir ke pejabat saya di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini bagi merekodkan keterangan berhubung siasatan perhimpunan Ahli-ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hadir di IPDTL untuk memberikan keterangan berhubung perkara sama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta 342 iaitu Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalam Penyakit Berjangkit 1988.

Mereka yang direkodkan keterangan merupakan antara 107 wakil rakyat pembangkang yang sedang disiasat selepas didapati berhimpun di kawasan Dataran Merdeka dan cuba memasuki Parlimen walaupun sidang Parlimen sudah ditangguh selama 14 hari atas nasihat Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette